Nuffnang Ads

Selasa, 11 November 2014

Cara betul minum teh

MENUNYA mudah, hanya minuman teh yang dihidang bersama skon (makanan ala-ala kek dan roti diperbuat daripada susu dan tepung gandum yang dijadikan menu petang ala Inggeris) bersalut jem strawberi, namun sudah cukup membangkitkan selera.

Ditambah pula, dengan keharuman aroma teh hasil daripada benih berkualiti tinggi yang sememangnya menjanjikan kelainan rasa dan keunikan tersendiri khususnya bagi peminat minuman itu.

Selain rasa yang menyegarkan, menikmati teh di puncak pusat pelancongan tanah tinggi yang terletak di Pahang ini sambil dikelilingi pemandangan hijau dan keindahan flora, sudah pasti memberi kedamaian kepada sesiapa sahaja.

Apatah lagi, iklimnya yang dingin dengan suhu nyaman sepanjang tahun antara 14 hingga 24 darjah celcius berdasarkan kepada kedudukannya yang berada 1,400 dari paras laut.

Maka, tidak menghairankanlah apabila ramai mengakui kenikmatan teh di tanah tinggi ini bukan sahaja luar biasa rasanya dan memberi pengalaman berbeza.

Malah, begitu berperisa dan ini yang dirasai oleh sekumpulan media yang membuat liputan di Taman Agroteknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) baru-baru ini.

Amalan salah

"Teh di sini berkualiti tinggi, rasanya asli dan kaya dengan khasiat tersendiri. Umum sedia maklum terdapat pelbagai jenis teh seperti teh hitam (pilihan ramai), teh hijau, oolong (sejenis teh tradisional negara China), yang mempunyai banyak khasiat.

"Bagaimanapun, hampir sebahagian besar masyarakat mengamalkan cara penyediaan dan minum teh yang salah", kata Pembantu Penyelidik Kanan, Mardi, Mohd Noor Bahauddin.

Kesilapan amalan ini, akhirnya menyebabkan khasiat yang terkandung dalam teh itu tidak dapat diperoleh secara 100 peratus. Dan, paling menyedihkan apabila amalan tidak betul itu menghapuskan atau menghilangkan terus khasiat tersebut!

Walhal, teh yang menjadi sebahagian amalan seharian manusia hari ini sudah diakui di beberapa negara sebagai antara minuman berkhasiat untuk kesihatan tubuh badan.

Dipetik kajian seorang pakar dari University of Illinois, masalah gigi berlubang dan jangkitan gusi boleh dielakkan sekiranya mengamalkan meminum teh dengan cara betul.

Ini kerana, kandungan polyphenols di dalamnya boleh mengurangkan bakteria di dalam mulut selain dapat mengurangkan nafas berbau yang menjadi masalah sebahagian orang.

Kajian kesihatan lain juga mendapati amalan minum teh baik untuk jantung, meningkatkan daya ingatan, melancarkan perjalanan darah, mengurangkan tekanan serta mengelak kanser.

Ini diperkukuhkan hasil kajian di Jepun, mendapati golongan warga emas yang mengamalkan minum teh hijau mempunyai daya ingatan lebih baik secara purata berbanding mereka yang jarang minum teh.

"Namun, semua ini hanya dapat diperoleh apabila meminum teh dengan cara dan kuantiti yang betul", jelasnya.

Hanya nak sedap

Sememangnya tidak dinafikan bahawa teh yang dihidangkan panas mahupun sejuk menjadi pilihan kebanyakan masa khususnya waktu petang sambil menikmati pisang goreng, kuih-muih ataupun ketika tetamu berkunjung tiba.

Minuman ini telah lama diamalkan sejak 5,000 tahun dahulu di China dan adalah antara minuman tertua yang menjadi kegemaran masyarakat tidak kira peringkat umur.

Malahan, turut dijadikan adat dalam sesuatu perkahwinan.

Justeru, tidak menghairankanlah pelbagai produk teh berada di pasaran ketika ini dengan perisa-perisa menarik seperti strawberi, epal yang ditambahkan lagi kesedepannya dengan hirisan lemon.

"Kebanyakan orang minum teh dengan cara yang salah kerana mementingkan kesedapan sahaja. Apabila saya jelaskan kepada mereka (pengunjung Taman Agroteknologi) mengenai khasiat teh, ramai terkejut.

"Mereka tidak tahu bahawa selama ini cara penyediaan teh yang diamalkan boleh menjejaskan khasiatnya dan ada pula mendedahkan kepada risiko penyakit", katanya.

Misalnya, teh tarik adalah minuman kegemaran hampir majoriti besar masyarakat tempatan yang mana penggunaan susu berlebihan boleh mendedahkan mereka kepada risiko diabetis.

Walhal, teh yang kaya dengan khasiat ini dan sepatutnya membawa kebaikan kepada kesihatan akhirnya menjadi 'punca' masalah kepada rangkaian penyakit.

Sedangkan, dengan hanya meminum teh sekurang-kurangnya dua kali sehari dapat menghindarkan penyakit seperti angin ahmar, menguatkan tulang tetapi semuanya hanya berhasil apabila tidak mencampurkan bahan pemanis seperti susu dan gula.

"Bergantung cara hidup masyarakat. Kalau mereka mengamalkan hidup sihat, penyakit dapat dihindarkan.

"Masalahnya, masyarakat suka kepada benda sedap dan teh tarik itu adalah antara pengambilan tanpa kawalan boleh mendedahkan kepada penyakit", katanya.

Suka rendam

Selain mengurangkan campuran dua bahan pemanis itu, kandungan khasiat teh dapat dirasai sebaiknya melalui kaedah manual atau cara lama dalam penyediaannya.

Dengan menggunakan serbuk teh yang dibancuh air panas dan kemudian ditapis, khasiatnya lebih terjamin. Namun, disebabkan agak leceh membuatkan ramai cenderung memilih teh uncang.

Selain mudah dan jimat masa, penukaran teh uncang juga bertitik tolak daripada beberapa isu berkaitan produk teh timbang yang dikesan mengandungi
bahan pewarna berlebihan sehingga boleh menjejaskan kesihatan jangka masa panjang.

Namun di sebalik tanggapan ramai teh uncang adalah selamat, hakikatnya ia juga mempunyai kelemahan dan boleh mengundang kesan buruk kepada seseorang individu.

Ini kerana, hampir sebahagian besar daripada kita suka merendam uncang teh terlalu lama dan hanya akan membuangnya setelah selesai menikmati minuman itu.

Walhal, adalah sebaiknya ia dicelup tidak lebih daripada lima minit dan dalam tempoh itu, menurut Mohd Noor sudah cukup untuk mendapatkan warna sesuai, rasa serta aroma diingini.

"Kita khuatir kertas uncang digunakan berkualiti rendah yang turut mengandungi campuran lilin sehingga boleh menjejaskan khasiat teh apabila direndam lama.

"Bagi mereka yang sistem badannya tidak kuat, mungkin boleh mendapat sembelit. Ini kerana, teh adalah seperti herba lain yang mana apabila pengambilannya melebihi kapasiti penerimaan badan, tentu ada kesannya", jelasnya.

Tiada ulasan:

Tajaan

Related Posts with Thumbnails

RADIOKITA STESEN 1